Pages

Sunday, February 20, 2011

Hak-hak wanita dalam Islam

Hak-hak wanita dalam Islam terutamanya hak seorang Isteri.

Hak

Hak dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau berbuat sesuatu, milik, kepunyaan, dan yang. (Kamus Dewan edisi ke-4, muka surat 500)

Hak dari sudut istilah ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau kuasai, baik yang berupa benda mahupun yang berupa wang ringgit yang merupakan kewajipan bagi sesuatu yang perlu diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa perbuatan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 228

Bermaksud: “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipan menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah lagi Perkasa lagi Mahabijaksana.

Hak-hak wanita secara umumnya boleh dibahagi kepada TIGA (3) iaitu;

1. Hak Wanita Sebelum Bergelar Isteri

2. Hak Wanita Apabila Bergelar Isteri

3. Hak Wanita Jika Diceraikan.

Setiap hukum dan peraturan yang yang terdapat dalam Islam bukan hanya memihak kepada suami (lelaki), tatkala hukum dan peraturan juga kepada isteri (wanita) dan kesemua pihak, ini menunjukkan keadilan sistem Islam sebagai agama yang sempurna.

Sebelum Bergelar Isteri

Sebelum bergelar isteri, Allah memberi hak kepada kaum wanita iaitu dalam masalah pernikahan. Seseorang wanita itu tidak boleh dinikahkan dan tidak boleh bernikah tanpa keizinannya. Hal ini demikian kerana, wanita diberi hak untuk menentukan pendamping hidup sendiri. Selain itu, wanita juga diperkenankan untuk menolak calon suaminya yang diajukan oleh orang tua mereka dan yang diajukan oleh kaum kerabat (atuk, nenek, mak cik, pak cik dan lain-lain) yang tidak disukainya.

Wanita diberi hak tersebut kerana wanita merupakan penenang suami dan ketenangan tersebut tidak akan wujud jika sesebuah perkahwinan yang murni ini terpaksa.

Apabila Bergelar Isteri

Apabila bergelar isteri, Islam meletakkan LAPAN (8) hak kepada kaum wanita iaitu,

1. Hak Mendapat Mahar,

2. Hak Nafkah yang terbahagi kepada DUA (2) iaitu

-Nafkah Zahir

-Nafkah Batin

3. Hak Mendapat Komunikasi Yang Baik

4. Hak Mendapat Bimbingan Dan Tunjuk Ajar

5. Hak Bekerja

6. Hak Bersuara

7. Hak Mendapat Harta Isteri

8. Hak Mendapat Harta Sepencarian

Hak Mendapat Mahar

Mahar adalah hak mutlak isteri yang wabij diberi oleh suami kepada isteri dengan sebab berkahwin. Kadar mahar itu bergantung kepada kemahuan atau kerelaan isteri.

Firman Allah dalam surah an- Nisa : 4

Bermaksud: “berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu kahwini sebagai pemberian penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu sebahagian dari maskahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi baik akibatnya”

Mahar merupakan hak mutlak isteri dan suami hanya berhak mengambilnya dengan keredhaan atau kerelaan isteri sahaja, dengan syarat suami wajib mengganti kembali mahar tersebut. Allah mengancam kepada mereka yang tidak melunaskan kembali mahar isteri jika telah digunapakai. Hal ini demikian kerana, mengambil mahar yang telah diberikan kepada isteri merupakan penderhakaan yang terang-terangan seraya menderhakai Allah SWT. Suami perlu sedar akan kepentingan mahar tersebut, kerana perkara ini perlu diambil berat kerana mahar tersebut merupakan hak isteri. Namun, sikap berlapang dada adalah lebih dekat dengan takwa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 237

Bermaksud: “jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka padahal kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah separuh dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali kalau isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah. Sikap maaf itu lebih adalah lebih dekat pada takwa. Dan janganlah melupakan keutamaan antara sesama kamu. Sesungguhnya Allah Mahamelihat apa yang kamu kerjakan”

Nabi Muhammad SAW juga telah menerangkan beberapa benda yang boleh dijadikan sebagai mahar perkahwinan, contohnya

1. Matawang

2. Barang (material) seperti cincin, pakaian, dan kasut.

3. Pekerjaan seperti menghafal Al-Quran

4. Makanan atau bahan-bahan

5. Memerdekakannya

Nafkah Zahir dan Batin

Nafkah Zahir

Suami wajib membelanjakan wang untuk makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal isteri selaras dengan kemampuannya.

Firman Allah dalam surah Al-Talaq ayat 7

Bermaksud: “hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikul beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud,

Bermaksud: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah SAW lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya, “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka.

Isteri tidak boleh meminta sesuatu diluar kemampuan suami, tatkala isteri dibenarkan untuk mengambil harta suaminya yang sebenarnya mampu untuk memberi kepada isterinya dengan kemampuan yang nyata.

Dalam hadis riwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

Bermaksud: Dari Aisyah RA berkata: sesungguhnya Hindun dating kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “ Wahai Rasulullah, Abu Sufian adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup kepadaku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya” lalu baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”

Menurut Imam Nawawi, perkara yang wajib adalah makanan, bahan rempah ratus, pembantu bagi yang kebiasaannya memerlukan pembantu, pakaian, alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya, perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidur, dan sebagainya, dan tempat tinggal.

Nafkah Batin

Firman Allah dalam surah Al-baqarah : 223

Bermaksud: “…dan bergaullah dengan mereka dengan sebaik-baiknya…”

Isteri boleh menolak hajat atau keinginan suami untuk bersetubuh dalam syarat mestilah dalam keadaan darurat atau keuzuran seperti, haid, nifas, dalam ihram. Namun begitu, suami perlu memahami keadaan isteri jika terlalu letih berkerja siang malam, tidak sihat tubuh badan dan lain-lain yang boleh dikategorikan sebagai darurat. Namun begitu, isteri perlulah menolak hajat suami untuk bersetubuh dengan sebaik-baiknya sehingga suami faham akan keadaan isteri.

Dalam Islam, pengertian nafkah batin tidak terbatas dalam perlakuan seks semata-mata, berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual, bermesra dan mendidik ajaran agama termasuk dalam konsep nafkah batin yang diajukan oleh Islam.

Komunikasi Yang Baik

Komunikasi yang baik terhadap isteri termasuklah melayani isteri dengan baik, lemah lembut, bertolak ansur dari segi fizikal mahupun mental.

Hal ini dijelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim,

Bermaksud: dari Abu Hurairah RA berkata: sabda Rasulullah SAW bersabda: “pergaulilah kaum wanita dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkonya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak luruskannya, luruskanlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu, pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut.”

Tindakkan seperti menyakitkan isteri secara fizikal ataupun mengucapkan perkara-perkara yang menyakitkan perasaan isteri ataupun dengan cara seperti mencari-cari kesilapan isteri, mengkhianati isteri, pulang lewat malam dari berfoya-foya untuk memenuhi selere sendiri terus, melupakan kepentingan isteri amat dilarang dalam Islam,

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

Bermaksud : Dari Jabir: Nabi SAW melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka.

Suami yang baik akan sentiasa menghormati isteri dan sentiasa bersabar dengan tingkah laku isteri yang mungkin tidak disukainya, Suami perlu sedar bahawa mencintai seseorang bukan hanya mencintai benda yang baik sahaja, manakala perlu mencintai perkara yang buruk terhadap isteri meraka.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: …”dan bergaullah dengan mereka secara patut (makruf), kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan kepadanya kebaikan yang banyak”

Suami tidak mempunyai hak untuk berlaku kasar terhadap isteri jika tidak menyenangi sikap isteri. Kerana suami perlu bersikap adil kepada isteri dengan cuba untuk menyukai sikap tersebut. Suami hanya dibenarkan memukul isteri sebagai pengajaran tidak menimbulkan rasa sakit yang berbahayakan isteri yang terdapat dalam hadis,

Bermaksud: “…dan janganlah kamu pukul mereka dan menghina mereka”

Suami bertanggung jawab untuk mengajar isteri, namun suami tetap bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan keamanan isteri.

Hak Mendapat Bimbingan dan Tunjuk Ajar

Suami sebagai ketua keluarga dipertanggungjawabkan untuk membimbing, menasihati isteri dari sudut pendidikan agama, pergaulan sesama saudara dari kedua-dua pihak suami mahupun isteri, bersama jiran tetangga, menasihati dari segi pemakaian, cara mengawal emosi, mengajar isteri cara mendidik anak, malah isteri dan anak-anak berhak mendapat contoh dan akhlak yang terpuji dari suaminya.

Hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Tarmizi

Bermaksud: Rasulullah SAW bersabda: “setiap orang di antaramu adalah pempimpin dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya, seorang imam adalah pemimpin atas umatnya, dan dia bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarganya…”

Memelihara isteri dari segala perkara yang boleh mencemarkan kehormatannya dan menjauhkannya dari perbincangan yang tidak baik, mendisiplinkan isteri, memberi tunjuk ajar yang baik kepada isteri adalah kewajipan suami.

Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Lelaki terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri.”

Firman Allah dalam surah At-Tahrim : 6

Bermaksud: “hai orang-orang beriman jagalah dirimu dan keluargamu dari seksa api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras yang tidak menderhakai Allah atas perintah-Nya dan selalu selalu taat pada apa yang diperintahkan kepada mereka.”

Mejaga ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan syirik merupakan tanggungjawab suami. Selain itu, suami berkehendaki menjauhkan isteri daripada perbuatan dosa dan maksiat. Suami yang mengajak isteri berbuat maksiat telah menderhaka kepada isteri dan mengabaikan tanggungjawab yang diperintahkan Allah untuk mendidik isteri.

Hak Bekerja

Hukum asal Islam bagi wanita untuk bekerja adalah tidak perlu untuk bekerja. Sebelum berkahwin, perempuan akan diberi nafkah oleh bapa, manakala apabila bergelar isteri, suami bertanggungjawab unutk memberi nafkah. Hal ini merupakan anugerah yang besar kerana wanita tidak perlu untuk bersusah payah membanting tulang bagi mencari rezeki untuk orang lain. Namun begitu, terdapat beberapa situasi yang membenarkan seseorang isteri itu untuk bekerja jika terdesak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas : 23 -24 (kisah kedua puteri Nabi Syuaib AS)

Bermaksud: “dan tatkala ia sampai di sumber air negeri madya ia menjumpai di sana sekumpulan orang yang meminumkan ternaknya, dan ia menjumpai di belakang orang banyak itu dua orang wanita yang sedang menghambat ternakannya. Musa berkata: “apakah maksudmu dengan berbuat begitu? Kedua wanita itu menjawab: “kami tidak dapat meminumkan ternakkan kami sebelum pengembala-pengembalaitu memulangkan ternakannya sedangkan bapa kami adalah orang tua yang lanjut umurnya”. Maka Musa member minum trnak itu untuk menolong mereka, kemudian dia kembali ke tempat teduh lalu berdoa: “ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu kebaikan yang Engkau turunkan padaku”.”

Dalam tafsir Imam Al-Alusi (Al-Alusi. 59-60) menjelaskan bahawa kedua anak perempuan Nabi Syuaib telah diizinkan untuk keluar dan memberikan makanan dan minuman pada ternakannya memandangkan bapa mereka dalam keuzuran.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, bahawa Zubair bin Awwam telah memberi keizinan kepada isterinya Asma’ binti Abu Bakar untuk menguruskan kudanya, menumbuk bijian, membawa bijian di atas kepala sedangkan kebunnya jauh dari rumah tatkala Zubair sibuk berjihad mengembangkan syariat Islam dan tidak mampu untuk mengupah pembantu. Rasulullah juga tidak berkata apa-apa untuk membuktikan keharusan wanita untuk bekerja.

Situasi yang mengharuskan wanita untuk bekerja.

1. Situasi yang mendesak wanita keluar bekerja

2. Niat untuk mendapatkan rezeki yang halal dan mendapat keredhaan Allah

3. Mendapat keizinan suami atau wali

4. Janganlah pekerjaan atau tugasnya itu mengabaikan kewajipan kepada suami dan anak-anak

5. Pekerjaan yang tidak bertentangan dengan syarak seperti melacur, menjual badan dan sama waktu dengannya

6. Menutup aurat dan memenuhi hukum yang ditetapkan oleh Islam dalam konsep berpakaian, berjalan berbicara dan lain-lain.

7. Mengimbangi antara tugas di rumah dan di tempat kerja.

Suami sama sekali tidak wajar untuk melimpahkan tanggungjawab tersebut kepada isteri meskipun isteri mendapat hak mereka untuk bekerja dan harus bagi mereka yang bekerja itu untuk meringankan tanggungjawab suami. Hal ini demikian kerana, isteri mempunyai tanggungjawab yang tertentu, sama seperti suami. Hal ini menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang adil dalam mengimbangi tanggungjawab suami dan isteri, tatkala tanggungjawab yang diajukan kepada suami bertepatan untuk menjadikan seorang suami itu sebagai pemimpin, bukan isteri sebagai pemimpin.

Hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Tarmizi, dan Imam Nasa’i

Bermaksud: Dari Abu Bakrah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “suatu kaum tidak akan beruntung kerana mereka menyerahkan urusan-urusan mereka kepada wanita”.

Intisari hadis di atas menjelaskan bahawa diperingatkan bahawa satu kaum. Termasuk di dalamnya suami, tidak akan memperoleh kejayaan bila menjadikan wanita, termasuk di dalamnya isteri sebagai pemimpin.

Hak Bersuara

Menurut Abdul Kareem Zaydan (abdul kareem zaydan.1997.210) hak bersuara bermaksud, seseorang yang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapatnya dalam apa jua perkara samada umum atau khursus dan samada pendapat itu bersesuaian atau bertentangan dengan pendapat umum.

Bagi menjamin dan membina kebahagian dan keharmonian sesebuah keluarga, suami isteri mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Isteri diberikan hak untuk bersuara terutamanya apabila hak isteri tidak ditunaikan, justeru suami sebenarnya telah menderhakai isteri tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah : 1

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang memajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Intisari daripada ayat ini diturunkan kepada Khaulah binti Tha’labah yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya telah menziharkan beliau. Dalam konteks ini, Allah SWT telah menerangkan hukum zihar, Hal ini demikian menunjukkan bahawa wanita mempunyai hak untuk bersuara.

Menurut hukum Islam, hamba wanita yang berkahwin dengan hamba lain ketika menjadi hamba boleh memilih samada terus kekal sebagai isteri kepada suaminya yang masih lagi hamba ataupun berpisah.

Hal ini dibuktikan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengenai perbuatan Rasulullah dengan tidak menidakkan kehendak Barirah berpisah dengan suaminya Mugith.

Barirah (seorang hamba) dibeli, dan lalu dimerdekakan oleh Saidatina Aisyah RA. Mugith (seorang hamba) menangis teresak-esak seraya disaksikan oleh Rasulullah SAW apabila Barirah membuat keputusan untuk berpisah, sehinggakan Rasulullah SAW tertimbul perasaan simpati dengan nasib Mugith yang cintanya bertepuk sebelah tangan. Maka Rasulullah SAW berkata kepada Abbas: “wahai Abbas, tidakkah engkau berasa simpati dengan cintanya Mugith kepada isterinya, sedangkan isterinya amat membencinya?”. Justeru Rasulullah SAW bertanya kepada Barirah “kalaulah engkau menarik balik kata-katamu tadi dengan menerima kembali suamimu,” Barirah menjawab, “Ya Rasulullah, adakah Engkau menyuruhku berbuat demikian?” Rasulullah membalas “Aku cuma memberi pendapat.” Jawab Barirah, “aku tidak mahu menarik balik kataku tadi (tidak mahu kembali kepada suaminya).”

Hadis ini menjelaskan bahawa Islam memberi hak kepada wanita untuk bersuara atau mengeluarkan pendapat selagi bertepatan dengan syariat Islam.

Hak Terhadap Harta Isteri

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa : 19

Bermaksud: “Janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata”

Menurut Yusuf Al-Qardawi, tidak halal bagi suami yang menyusahkan isterinya dan memperlakukannya dengan buruk agar si isteri menebus dirinya dengan mengembalikan harta yang telah diberikan kepadanya seluruhnya atau sebahagiannya sedangkan isteri tidak melakukan perbuatan keji yang nyata (qardawi.2000.249)

Suami di zaman era globalisasi kini sering menjadikan amalan menganggap harta isteri merupakan harta suami dan boleh diambil dan digunakan sewenang-wenangnya. Malahan itu, terdapat suami yang memaksa isteri bekerja lalu mengambil gaji isteri bagi kepentingan sendiri. Harta isteri merupakan harta khursus isteri melainkan mendapat keizinan isteri. Jika suami mengambilnya dengan sesuka hati, maka suami sebenarnya telah menderhakai isteri mereka.

Suami yang ingin menalak isterinya dan berhasrat menikahi wanita lain, maka haram baginya untuk mengambil apa yang telah dia berikan.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa : 20 – 21

Bermaksud: “dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikit pun…”

Hak Terhadap Harta Sepencarian

Menurut akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian bermaksud, harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Harta ini bukan harta yang diperoleh daripada hasil individualiti suami atau isteri, atau harta pusaka mana-mana pihak.

Hak terhadap harta sepencarian ini dikaitkan dengan adat bagi menghormati usaha pemilikan harta pasangan suami isteri apabila mereka bercerai, ataupun berlakunya poligami. Justeru, hukum bagi perkara ini dikaitkan kepada Al-Aa’dah Muhakkamah atau Muhakkamah (pelajaran CTU 101) menyandarkan adat kebiasaan (yang diterima oleh Ulama dan tidak melanggar syariat Islam) untuk menentukan sesuatu hukum. Undang-Undang Keluarga Islam memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membahagikan harta sepencarian ini.

Sumbangan secara tidak langsung merupakan sumbangan kearah kebajikan keluarga seperti memelihara rumahtangga, menjaga keluarga, mengiringgi suami ke tempat kerja. Hal ini membolehkan isteri untuk menuntut harta sumbangan secara tidak langsung dan diakui oleh syarak, manakala tidak kepada suami jika perkara sebaliknya berlaku malah tidak diiktiraf oleh syarak kerana tanggungjawab tersebut merupakan amanah dan tanggungjawab suami.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 228

Bermaksud: “… dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum syarak)...”

Hak Isteri Selepas Diceraikan Suami.

Firman Allah SWT dalam surah At-Talak : 6

Bermaksud: “tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang telah di talak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik, dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”

Intisari ayat diatas menjelaskan bahawa tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri bukan sahaja semasa hidup bersama, namun, juga selepas bercerai.

Selepas diceraikan suami, Islam meletakkan ENAM (6) hak kepada wanita iaitu,

1. Tuntutan Mutaah

2. Tuntutan Nafkah Eddah

3. Tuntutan Hadhanah (hak jagaan anak)

4. Tuntutan Nafkah Anak

5. Tuntutan Harta Sepencarian

6. Tuntutan Tunggakan Hutang

Tuntutan Mutaah

Mutaah bermaksud hadiah di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi, sekiranya penceraian itu bukan berpunca daripada isteri seperti curang dan zihar, dan bukan akibat kematian suami.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah : 236

“Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapka mas kahwin (mahar) untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan.”

Mutaah boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti:

1. Pakaian

2. Wang Ringgit

3. Hadiah

Mutaah bergantung kepada kemampuan suami. Islam tidak meletak kadar bagi mutaah namun begitu, kesemuanya bergantung kepada keredhaan dan kerelaan isteri.

Semasa zaman pemerintahan Hasan bin Ali bin Abi Talib, semasa beliau menjadi khalifah Islam, beliau telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah kepada bekas isterinya.

Tuntutan Nafkah Eddah

Terdapat DUA (2) jenis talak iaitu:

1. Talak Raji’e, talak yang boleh dirujuk kembali.

2. Talak Bain, talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Suami isteri yang bercerai yang pernah bersetubuh wajib bereddah. Eddah bertujuan untuk memberi peluang kepada pasangan suami isteri (yang isterinya dicerai talak) untuk berfikir kembali keputusan yang lebih muktamad terhadap penceraian mereka.

Terdapat LIMA (5) keadaan yang membolehkan isteri menuntut dan tidak boleh menuntut nafkah eddah mengikut beberapa pendapat iaitu:

1. Isteri yang diceraikan dengan talak raji’e.

Isteri berhak mendapat nafkah dan tempat berlindung sehingga tamat tempoh eddah.

Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam An-Nasa’i

Bermaksud: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya.”

2. Isteri yang hamil ditalak dengan talak bain.

Para fuqaha bersependapat bahawa isteri berhak mendapat nafkah dan tempat berlindung sehingga anak itu dilahirkan. Hal ini demikian kerana, isteri yang hamil akan terjejas kesihatannya akibat penceraian yang dihadapi dan boleh mendatangkan masalah kepada kandungan.

Firman Allah SWT dalam surah At-Talaq : 6

Bermaksud : “Kalau mereka itu hamil, maka berikanlah nafkah kepada mereka hingga mereka melahirkan anaknya.”

3. Isteri yang diceraikan dengan talak bain terdapat dua pendapat yang berbeza.

a. Tidak boleh menuntut nafkah eddah

Menurut pendapat Jumhar Fuqaha Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman.

Hal ini bertepatan dengan hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim,

Bermaksud: “Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah.”

b. Namun begitu, menurut Imam Hanafi, wanita dalam kes ini berhak mendapat nafkah, kerana wanita menurut ayat ini disebut umum baik talak rajie mahupun bain.

Firman Allah dalam surah At-Talaq : 6

Bermaksud: “Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu.”

Isteri yang hamil bercerai akibat kematian suami tidak boleh menuntut nafkah eddah kerana menurut para fuqaha, kebiasaannya isteri yang kematian suami akan mendapat harta pusaka.

Hadis riwayat Darul-Qutni, “sabda Rasulullah SAW: tidaklah mendapat nafkah bagi isteri yang hamil akibat kematian suami.”

Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran.”

Tuntutan Hadhanah

Tuntutan hadhanah bermaksud tuntutan hak jagaan anak samada lelaki atau perempuan untuk diberi perhatian, kasih saying, mendidik, melindungi, dan persediaan seorang anak itu untuk membesar.

Namun, terdapat beberapa spekulasi samada ibu atau bapa yang berhak untuk mendapat hak menjaga anak.

Merurut Hadis yang diriwayat oleh Imam Abu Daud, daripada hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,

“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku.” Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda, “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.”

Menurut hadis di atas, ibu lebih berhak dalam mendapat tuntutan hadhanah, namun begitu, hak hadhanah akan terlucut sekiranya isteri itu telah melanggar salah satu syarat berikut:

“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu.”

Anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Namun, apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz. Menurut kebiasaan, bagi anak lelaki dianggap mumaiyyiz apabila yang telah mencapai umur 7 tahun manakala perempuan pula apabila pada umur 9 tahun.

Bagi tuntutan anak luar nikah pula, ibu yang mengandung dan melahirkannya maka ia berhak menjaga dan menafkahkannya dan di luar bidang kuasa lelaki untuk membuat tuntutan anak tersebut kerana anak di luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa.

Tuntutan Nafkah Anak.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Talaq : 6

Bermaksud: “Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah mereka.”

Dalam ayat diatas, terus terang bahawa Allah SWT berfirman bahawa bapa perlu memberi upah kepada isteri kerana menjaga anak (walaupun setelah bercerai) bukan bergantung kepada pihak yang menjaganya sahaja.

Seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:

a. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehinga ia ada pekerjaan.

b. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.

c. Bapa itu mampu memberi nafkah.

Menurut pendapat Para Fuqaha, apabila anak itu telah baligh dan mampu berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi nafkah untuk anak itu juga bagi anak yang mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil.

Tuntutan Harta Sepencarian

Menurut akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian bermaksud, harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Harta ini bukan harta yang diperoleh daripada hasil individualiti suami atau isteri, atau harta pusaka mana-mana pihak.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 228

Bermaksud: “… dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum syarak)...”

Tunggakan Hutang

Seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tidak membayar mas kahwin, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah: 282

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya"

Hadis riwayat Imam Muslim,

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa melapangkan dari orang mukmin kedukaan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan pada hari kiamat, dan barang siapa memudahkan atas orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan atasnya dalam urusan dunia dan akhirat.”

No comments: